Bahan-bahan:

1 tin Tuna Cili Padi TC Boy (K.An dah cuba jenis lain, tak sama rasanya.. jadi gunakan yang dalam resepi ye.. jangan tukar)

1 cawan kelapa putih parut- disangrai sedikit hingga wangi kekuningan

2 sudu besar udang kering direndam sebentar dan tumbuk halus

4 sudu besar cili kisar

3 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih ditumbuk halus

2 batang serai dititik dan ditumbuk halus

1 sudu besar kerisik

2 biji limau nipis diperah airnya

8 urat kacang kelisa dipotong 3 mm tebalnya (kalau nipis sangat, tak terasa rangup bila mengunyahnya)

garam dan gula secukup rasa

Cara-cara:

1. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam kuali. Tumis bawang merah, putih, dan serai hingga wangi. Masukkan cili kisar dan tumis sampai pecah minyak.

2. Masukkan udang kering, kelapa parut dan kerisik. Gaul rata hingga campuran kelapa agak kering. Tutup api dan ketepikan.

3. Buka tin tuna dan tuangkan minyak di dalamnya. Keluarkan semua isi tuna dan masukkan ke dalam mangkuk besar.

4. Masukkan kacang kelisa yang telah dipotong tadi dan sambal kelapa kedalam mangkuk berisi tuna. Perahkan air limau nipis. Gaul rata. Masukkan garam dan sedikit gula. Sesuaikan rasa. Ada masam, manis, masin dan pedas…

Kerabu ni boleh juga dimakan dengan roti pita, roti sandwich atau roti burger.

Kerabu Mangga 

June 12, 2010

Bahan-bahan: Hidangan untuk 5 orang

2 biji mangga muda dikupas dan hiris halus memanjang

2 sudu besar kacang tanah yang telah disangrai dan dikisar halus

1 sudu besar udang kering, disangrai dan dikisar halus

2 biji cili padi, 1 batang serai dititik, 2 ulas bawang merah- dikisar halus 2 biji cili merah dibuang biji dan hiris memanjang

1 sudu besar sos ikan

1 sudu besar ‘brown sugar’

2 sudu teh gula pasir

1/2 sudu teh garam

1/2 biji limau nipis diperah airnya

Cara-cara:

1. Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk. Gaul rata. Sedia dihidang.

2. Kalau tak habis, simpan di dalam peti ais di dalam bekas bertutup. makan masa sejuk pun sedap.

Kerabu Ayam

June 12, 2010

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 orang)

1 cawan isi ayam dipotong dadu

** rebus isi ayam dengan 1 cawan air hingga masak. Ketepikan.

Bahan ditumbuk:

2 batang serai- dihiris halus

3 biji cili padi

2 ulas bawang merah dihiris halus

1 ulas bawang putih

1 sudu besar udang kering/ ikan bilis siap dikopek

Bahan dihiris:

1 biji cili merah

2 urat kacang panjang-hiris halus

Bahan lain:

1/2 cawan kelapa parut putih-disangrai sebentar hingga wangi- jangan sampai perang

segenggam taugeh dibersihkan dan dilalukan air mendidih

2 biji limau nipis diperah airnya

1 sudu besar sos ikan (namphla)

garam (jika perlu)dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Toskan isi ayam. Ambil 1 sudu besar air rebusan. (yang lain simpan beku untuk digunakan lain kali- buat mee goreng ke, tomyam ke…)

2. Masukkan semua bahan termasuk isi ayam ke dalam mangkuk. Gaul rata dan sedia dihidang. (atau simpan dalam peti ais dahulu sementara lauk lain disediakan) Kerabu lebih sedap dimakan sejuk bersama nasi dan lauk-pauk lain.

1/2 kg kerang

1 ikat pucuk paku-dibasuh dan diambil daun, batang dan pucuk yang lembut-celur hingga lembut.

5 ulas bawang merah ditumbuk halus

2 sudu besar cili kisar/ 3 tangkai cili kering direndam dengan air panas dan ditumbuk halus

1 sudu teh belacan yang telah dibakar

2 sudu besar kerisik

2 sudu besar air asam jawa / 1 sudu besar pati asam jawa Adabi dicampurkan 1 sudu besar air

segenggam tauge dilalukan air mendidih di dalam penapis- toskan

Garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Basuh kerang bersih-bersih. Masukkan dalam periuk. Masukkan air secukupnya hingga tenggelam kerang. Didihkan dan tutup api. Kacau sedikit agar kerang masak rata. Kopek kulitnya dan ketepikan.

2. Bancuhkan air asam jawa dengan belacan, bawang, kerisik, cili kisar.

3. Masukkan tauge, pucuk paku dan kerang ke dalam mangkuk besar. Masukkan bahan-bahan yang dibancuh tadi. Masukkan sedikit garam dan gula. Gaul hingga semua bahan sebati.

Dah siaaap…

*** pucuk paku dan taugeh dicelur seketika sahaja bagi mengekalkan kerangupan dan kesegarannya

***boleh ditambah air limau nipis jika ingin lebih masam dan cili padi jika suka lebih pedas

KERABU tOMATO

June 12, 2010

Bahan-bahan:

1 biji tomato dihiris nipis

2 sudu teh sambal belacan

Cara membuatnya:

Satukan tomato dan sambal belacan.. Gaul rata. Masukkan ke dalam piring… sedia untuk dimakan.. Tak tipu… senang dan sedap.

**** tips daripada Moon.. kalau nak tambah kaler pada kerabu, tambahkan kacang panjang yang dihiris kecil-kecil dan gaulkan dengan ikan bilis/ udang kering ditumbuk halus. Kalau rajin lagi tambahkan bawang besar dihiris halus… memang terangkat.. Bahan-bahannya: (hidangan untuk 3-5 orang)

Kerabu Sotong 2

June 12, 2010

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3 orang)

200 gm sotong- dipotong cincin kecil-kecil

2 batang serai- ambil bahagian lembut je- batang keras buang ye

3 biji cili padi akar (cukup pedasnya)

1/2 labu bawang holland- dibelah 2 dan hirins membujur nipis

1/4 biji timun- buang biji dan hiris panjang, halus

1/2 biji tomato- hiris nipis

1 biji limau nipis – perah jusnya

garam, 1/2 sudu besar gula

cili merah dan hijau, hiris halus untuk mencantikkan warnanya

1 sudu teh kacang tanah yang telah disangrai dan tumbuk kasar

Cara membuatnya:

1. Didihkan 1/4 cawan air di dalam periuk. Masukkan sotong dan terus tutup api. Kacau sotong hingga lembut. Sejukkan sebentar.

2. Tumbuk serai (yang telah dihiris nipis) dan cili padi hingga halus. Masukkan ke dalam mangkuk. Masukkan hirisan tomato, timun, bawang besar holland, cili merah, cili hijau dan kacang tanah. Gaul rata.

3. Masukkan isi sotong dan 3 sudu besar air rebusan. Masukkan jus limau nipis, garam dan gula. Gaul sebati dan sedia dihidang.

Kerabu Apple

June 12, 2010

Bahan-bahannya sama macam nak buat kerabu mangga:

4 biji epal hijau segar (dihiris nipis memanjang)

2 sudu besar sos ikan (namphla)

1/2 cawan kacang tanah disangrai, buang kulit dan kisar halus+ kasar

1/2 cawan udang kering- disangrai dan kisar halus

3 biji limau nipis diperah airnya

garam gula secukup rasa

1/2 labu bawang besar holland dihiris nipis

2 biji cili merah dihiris nipis panjang-panjang 1 inci

Bahan ditumbuk halus:

3 ulas bawang merah

5 biji cili padi akar

3 batang serai dihiris nipis

Cara membuatnya:

1. Potong epal dan rendam dalam air ais agar kekal rangup. Apabila siap bahan lain, baru toskan epal dan masukkan ke dalam mangkuk. Campurkan dengan semua bahan. Gaul rata. Simpan dalam peti ais sehingga sedia dihidang.